BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 6, 2011

Mencerna Sains Menurut Acuan Alam Melayu-Islam

By Shaharir Mohamad Zain • Jul 30th, 2008 • Category: Rencana
Apakah tabii sains Melayu-Islam? Sains Melayu-Islam ialah sains yang diolah semula, ditafsir, disesuai dan dibangunkan oleh mereka yang prihatin kepada umat Islam, serta berpandangan alam Melayu dan mengungkapkan buah fikirannya dengan berwahanakan bahasa Melayu dan tidak bercanggah dengan nilai Islam. Pandangan alam Melayu itu tentunya sarat dengan nilai risalah Islam yang dengan rela hati didukungi oleh orang Melayu kerana keislamannya atau wawasan, imaginasi, citra mental, bisikan hati, perjuangan, persoalan, kebudayaan (dalam erti kata yang luas) tafsiran, takwil, persepsi dan tanggapan kebenaran dan kenyataan jiwa dan raga orang Melayu yang mampu dipertahankan tidak bercanggah dengan risalah Islam itu.
Proses membina sains berasaskan pandangan alam Melayu-Islam inilah yang boleh diistilahkan pempribumian sains Melayu. Sains di alam Melayu dan berbentuk realisasi pengislaman sains di alam Melayu.
Sains itu akan menjuzuki sebahagian sains Malaysia dan sains Islam yang dibina oleh pelbagai bangsa yang pandangan alamnya juga tidak bercanggah dengan nilai Islam seperti yang pernah berlaku pada zaman tamadun Islam dulu. Ini tidak bermakna sains Melayu sebelum orang Melayu memeluk agama Islam pada abad ke-13 Masihi itu tidak mungkin diterima sebagai sains Melayu-Islam. Ini kerana sains Islam tidak semestinya sains yang dicipta pada zaman tamadun Islam abad ke-9 Masihi.
Risalah Islam bermula sejak Nabi Adam lagi. Tidaklah semua budaya atau unsur pandangan alam manusia (Melayu khususnya) sebelum abad itu boleh dikategorikan sebagai budaya atau pandangan alam yang melahirkan sains tidak Islam kerana fitrah manusia (dan surih tinggalan risalah Islam sebelum kelahiran Nabi terakhir kita) sentiasa wujud sepanjang masa, dan adanya unsur ‘urf (adat resam) yang non-Islamic yang sentiasa boleh disesuaikan dengan Islam sebenar.
Dengan tabii sains Melayu-Islam yang digariskan di atas, satu daripada kegiatan sains Melayu-Islam ialah kegiatan menyelidik, mencungkil dan menyerlahkan unsur etnosains di alam Melayu, iaitu sains yang tersirat dalam cara hidup Melayu sebelum dan selepas kedatangan Islam. Kegiatan sains itu membantu menguatkan kekuatan jiwa Melayu yang terbelenggu dengan tanggapan kehebatan bangsa lain yang kaya dengan etnosainsnya, membantu memenuhi satu daripada tuntutan ‘Wawasan 2020′ kita supaya kita ‘terucul secara psikologinya’ (asalnya, psychologically liberated atau ‘tidak terkongkong jiwanya’) dan sekali gus menjadikan bangsa Melayu lebih berdaya pengaryaannya. Umpamanya umat Melayu dan dunia amnya perlu ditonjolkan dengan kemungkinan besarnya angka kosong (simbol untuk nombor tiada apa-apa) pertama di dunia dicipta di alam Melayu dan kebitaraan sistem nombor dan sistem sukatan Melayu, masing-masing berasaskan lima dan empat saja berbanding bangsa lain berasaskan sepuluh, 12, 20 dan 60 itu (Lihat karya penulis dan Abdul Razak (1996) mengenai hal ini, ‘Sistem nombor dan angka Melayu’ yang akan terbit dalam Jurnal Linguistik, Persatuan Linguistik Malaysia).
Etnosains dunia Melayu amat banyak dan menunggu untuk diterokai yang menjanjikan pulangan berguna bagi pembinaan sains Melayu-Islam kontemporer. Bidang lain yang jelas kaya dengan etnosains Melayu ialah perkapalan, seni bina, perubatan malah persenjataan dan pelbagai kejuruteraan yang sebahagiannya sudah diusahakan oleh Wan Ramli (1992), ‘Pembudayaan sains dan teknologi dalam masyarakat Melayu menjelang 2020′ di Kongres Cendekiawan Melayu III dan Wan Ramli (1993): ‘Sejarah teknologi Melayu pada zaman Islam,’ dalam majalah Sari 11 : 127-168 dan penyelidikan seterusnya sedang dilakukan oleh beberapa kumpulan penyelidik di ATMA, UKM.
Satu daripada aspek kajian dalam etnosains yang penting ialah kajian konsep sains yang diajar di sekolah atau di universiti mengikut perspektif kebudayaan sesuatu bangsa, khususnya bangsa Melayu. Kajian ini dipercayai dapat membantu kita menyediakan cara pendekatan pengajaran atau pendidikan ilmu itu dengan lebih berkesan kepada bangsa berkenaan.
Dalam matematik umpamanya, bidang etnomatematik yang menumpukan aspek sejarah dan falsafah matematik dan dikaitkan dengan pendidikan atau pengajaran matematik mengikut budaya sesuatu bangsa diprakarsakan oleh ahli matematik Brazil, d’Ambrosio pada 1975 seperti yang dilaporkannya dalam makalahnya 1989, ‘On Ethnomathematics’, yang terbit dalam jurnal An International Journal for Philosophy of Modern Maths dan makalahnya dalam Notices Amer. Maths Soc. 1992, 39 (10): 1183-85; dan dalam Historia Mathematica, 1992, 16:285-88. Sejak 1991, bidang etnomatematik diiktiraf kepentingannya dengan menjadikannya satu daripada sub-bidang sains matematik dalam pengelasan mengikut Mathematical Reviews dan sudah ada beberapa buku mengenainya. Sesungguhnya bidang ini sepatutnya menjadi satu daripada tujahan penyelidikan di negara yang prihatin kepada nasib etnik yang menghadapi masalah sains matematik seperti umat Islam, khususnya Melayu.
Malangnya hal ini berlaku di alam Melayu. Satu contoh mudah yang penulis suka menonjolkannya berhubung etnomatematik ini ialah kajian sebab pelajar Melayu begitu sukar menerima konsep penambahan pecahan seperti 1/3 + 3/7 tidak sama dengan 4/10.
Persoalannya apakah budaya Melayu dalam pecahan? Banyak lagi persoalan seperti ini dalam matematik sekolah dan malah dalam sains lain yang perlu dikaji daripada perspektif minda Melayu, jika kita mahu memperbaiki pendidikan sains kita yang sebahagiannya disenarai di dalam makalah bersiri penulis ini dalam Utusan Melayu 10-18 April, 1996.
Isu utama dalam pembinaan sains Melayu-Islam ialah pembinaan budaya dan tradisi baru sains dalam bahasa Melayu. Ini unsur mesti, unsur pati atau sine qua non dalam sebarang usaha pempribumian ilmu serta pengislaman. Pempribumian ilmu pada amnya tidak sama dengan pengislaman ilmu tetapi pempribumian ilmu dalam konteks pembinaan sains Melayu-Islam ialah satu perealisasian pengislaman ilmu di alam Melayu.
Pempribumian ilmu berlaku di negara maju sekarang dan dalam tamadun besar dulu. Bagi sesetengah pihak betapa bahasa kebangsaan negara itu menjadi wahana pempribumian ilmu mungkin sudah tidak dipersoalkan lagi. Namun kajian ilmiah mengenai peranan bahasa dalam pendidikan dan pembinaan ilmu memang banyak dilakukan sejak tahun 1970-an, oleh sarjana bukan Islam, walaupun al-Quran menegaskan pengiktirafan Allah ke atas penting yang tersendiri sesuatu bahasa setiap umat yang besar seperti petikan ayat al-Quran di bawah ini:
l “Sesungguhnya Allah memberi kurnia kepada orang yang beriman ketika Allah mengutuskan seorang Rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, membersihkan jiwa dan mengajar mereka al-Kitab dan al-Hikmah.” - (Sebahagian ayat 164, surah Ali-Imran (3);
l “Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.” - (Sebahagian ayat 4, Surah Ibrahim (14).
l “Hai golongan jin dan manusia, adakah belum datang kepadamu rasul daripada kalangan kamu sendiri?” - (sebahagian ayat 130, Surah al-Anaam (6);
l “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri…” - (sebahagian ayat 128, Surah al-Taubah (9) dan maksud yang sama dalam Surah al-Nahl (16), ayat 113), Surah al-Mukminun (23) Ayat 32);
l “Setiap umat mempunyai rasul.” - (Sebahagian ayat 47, Surah Yunus (10) dan Surah al-Nahl (16) Ayat 36);
l “Aku jadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan.” (Sebahagian ayat 13, Surah al-Hujurat (49); dan
l “Hai orang beriman. Janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain.” - (Sebahagian ayat 11, Surah al-Hujurat (49).
Antara hasil kajian sarjana Barat mengenai peranan positif yang bitara sesuatu bahasa dalam sains secara umum dan terawal ialah Ravitz dan Holton pada 1970-an yang dirujuk di atas; bahasa dalam matematik ialah yang dikumpul oleh Nasher dan Kalpatrick (1990), Mathematics and Cognition, manakala bahasa dalam daya pengaryaan ialah oleh Edward de Bono (1991); I am Right You are Wrong. Kejayaan pembinaan budaya sains dalam bahasa kebangsaan tersendiri ini pada masa dulu (tamadun besar dahulu) dan kini di negara maju seperti K-7 atau negara kaya dengan S&T lain yang kini dikira 19 negara) memang mentahkikkan keesahan kajian itu sehingga kita boleh menganggapnya satu hukum Sunnatullah: Bangsa yang maju S&Tnya membina budaya dan tradisi S&T dalam bahasanya sendiri.
Dalam gagasan pengislaman tajaan Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978/1993) memang ada dinyatakan betapa pengislaman ilmu memerlukan ‘penguculan seseorang daripada kawalan sekular ke atas taakulan dan bahasanya. Taakulan dan bahasanya tidak lagi dikawal oleh magik, mitologi animisme. Kami mentakrifkan pengislaman pertamanya sebagai pengislaman bahasa.’ (Terjemahan penulis pada ungkapan bukunya di halaman 41-42/44-45). Tentu isu pengislaman bahasa seperti yang digariskan Syed Muhammad Naquib itu memerlukan perbincangan lagi daripada yang mampu dibicara di sini. Tetapi jelaslah pembinaan sains Melayu-Islam di alam Melayu hanya mungkin berjaya jika pembinaan itu dilakukan dalam satu daripada bahasa Islam dunia kini, iaitu bahasa Melayu.
Oleh sebab itu kita perlu menentang sebarang dasar yang mengalpakan pentingnya bahasa Melayu dalam pembangunan sains dan teknologi di Malaysia, seperti yang ketara kini, jika benar kita mahu merealisasikan wawasan negara yang mahu maju dalam acuan sendiri iaitu yang benar-benar maju kerana adanya sains Malaysia (yang diharapkan berupa sains Melayu-Islam sebagai terasnya) yang dapat menyaingi sains dunia kini.
Pembinaan sains Melayu-Islam membabitkan pempribumian dan pengislaman sains di alam Melayu.
Oleh itu, banyak isu pembinaan sains Melayu-Islam itu yang bertindan dengan isu pengislaman sains itu sendiri. Pengislaman sains adalah gagasan unggul yang apabila dilaksanakan oleh seorang Muslim sudah tentu akan mengandungi unsur budaya setempat yang tidak bercanggah dengan Islam. Ini tidak dapat dielakkan.
Oleh itu dalam hal pempribumian sains di alam Melayu, semua bidang sains dilihat mengikut perspektif Islam dan pandangan alam Melayu yang tentu tidak semestinya terikat kepada fahaman sarjana sains Islam dulu atau kini. Pengislaman bukannya pengembalian budaya sains pada zaman tamadun Islam dulu saja dan tidak juga kepada pengaraban saja.
Sebaliknya, pengislaman sains perlu dan boleh diasaskan kepada kebudayaan bukan Arab seperti yang berlaku pada peringkat awal tamadun Islam dan tamadun Melayu pada zaman kegemilangan Melayu dulu. Umpamanya sarjana Melayu dulu mencipta sistem tahun yang dinamainya daur kecil dan daur besar yang cukup bersistem dan unik adalah hasil pempribumian sains di alam Melayu yang mengagumkan sesiapa pun.
Dalam pada itu, sains yang dicipta pada zaman tamadun Islam kurun ke-8 Masihi hingga ke-14 Masihi hampir semuanya (kecuali falsafah dan tafsirannya saja) sudah diambil Barat dan dimajukan mengikut pilihan prioriti, falsafah atau pandangan alam mereka sendiri.
Hasilnya bukan semuanya sudah bertentangan dengan Islam. Ada yang lebih Islam daripada karya sains pada zaman tamadun Islam dulu dalam erti kata lebih hampir kepada kenyataan, lebih indah dan mudah difahami dan kurang pengaruh mitos Yunani serta boleh menambahkan ketakwaan kita kepada Pencipta.
Dalam beberapa hal kita boleh menjangka jika orang Islam sendiri yang memajukan sains daripada zaman tamadun Islam itu, hasil yang sama seperti yang dilakukan oleh sarjana Barat itu juga akan diperoleh cuma ditambah dengan tafsiran lebih Islam.
Contohnya mengenai geometri bukan Euklidan, aljabar, kalkulus, teori heliopusatan, penyulingan, hubungan ruang masa. Inilah yang mengabui mata banyak pihak sehingga memborong semuanya menyatakan sains itu semesta atau neutral.
Sebenarnya kebetulan ia tidak bermakna bidang sains sudah cukup Islam sekarang ini. Banyak luang pengislamannya atau pempribumian yang perlu dan boleh dilakukan dalam erti kata pembaikannya lebih berkenyataan, mudah difahami, indah, merangkumi dan sebagainya serta mendekatkan diri kepada Pencipta.
Dalam pembinaan sains besar (menggunakan istilah, de Solla Price (1986) dalam bukunya, Little Science, Big Science and Beyond) kita perlu menyediakan perancangan penyelidikan tersendiri. Inilah satu daripada manifestasi besar wujudnya pelbagai sains: sistem nilai atau pandangan alam yang berbeza tentunya melahirkan persoalan dan prioriti berbeza.
Apakah prioriti penyelidikan dalam pembinaan sains Melayu-Islam? Persoalannya amat rapat dengan persoalan apakah masalah utama umat Melayu dan umat Islam amnya?
Tidak mungkin masalah umat Melayu sama dengan masalah umat bukan Islam di negara Barat.
Sains Amerika Syarikat meletakkan penyelidikan meneroka angkasa lepas sebagai prioritinya kerana mereka menganggap mereka sudah menguasai semuanya di bumi.
Mereka meletakkan penyelidikan dalam kesenjataan sebagai prioritinya kerana mereka beranggapan imereka boleh menjadi tuan di seluruh alam semesta ini. Mereka tidak menjadikan etnosainsnya sebagai prioriti penyelidikannya kerana mereka sudahpun melakukannya beberapa abad yang lepas.
Mereka tidak menjadikannya pempribumian sainsnya kerana mereka sudahpun berjaya melakukannya dalam masa hampir tiga abad bermula abad ke-14 dulu. Mereka tidak menjadikan penyatuan agama dengan sains atau pengkristianan sains sebagai agenda penyelidikan sainsnya kerana pembinaan sains mereka daripada awal lagi ialah menuju kepada sekularisme atau pensekularanisme iaitu fahaman yang menghapuskan kawalan agama dan metafizik ke atas taakulan dan bahasa, memupuk pengawahikmatan alam tabii, pengawasakralan politik dan pengawakonsekrasian nilai yang tidak bertentangan dengan Kristian Barat, seperti yang dibicarakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam and Secularism itu.
Barat tidak menggalakkan negara membangun menjadikan sains asas sebagai prioriti penyelidikan sekurang-kurang sama dengan agenda penyelidikan mereka kerana kurangnya kepentingan mereka dalam agenda seperti ini; sedangkan penyelidikan berasaskan pacuan pasaran semasa atau berasaskan komersan lebih mengutungkan mereka kerana kita akan sentiasa menjadi pengguna sains mereka dan sekali gus kita mungkin dapat menjadi pusat kecemerlangan pasaran sains dan teknologi mereka.
Oleh itu, sudah sampai masanya pihak perancang sains besar kita, iaitu IRPA (Intensification of Research in Priority Areas, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar) kita merangka dasar menjanjikan kelestarian perkembangan sains dan teknologi Malaysia dengan merangka dasar membawa pemalaysiaan sains yang menjadikan sains Melayu-Islam sebagai teras.
Ulasan am di atas tentu membawa kepada dasar dan rancangan tindakan sains dan teknologi agak berbeza daripada yang berlaku sekarang.
Dasar sains kita terlampau menumpukan kepada kepentingan pulangan wang iaitu berpacukan komersilan dan mengabaikan sains asas.
Umpamanya dalam kajian penulis (1995) mengenai prestasi IRPA dalam rancangan Malaysia yang baru lepas, RML, Towards a quantum jump in the development of Islamic science in Malaysia, kertas kerja di Seminar Sains dan Islam anjuran IKIM, ada tidak lebih lima peratus saja daripada jumlah peruntukan IRPA di universiti yang jika dipaksa mengakuinya, berupa penyelidikan sains asas dan tiada satu pun berbentuk etnosains atau pembinaan sains Malaysia atau ’sains dalam acuan kita sendiri’ mengikut pengertian yang digariskan di sini.
Pembinaan sains Melayu-Islam atau lebih am lagi sains Malaysia memerlukan dasar pendidikan berbeza daripada yang ghairah diamalkan sejak dua atau tiga tahun ini. Isu wahana (bahasa) bagi pembudayaan sains Malaysia sudah disentuh sebelum ini dan tidak diulangi di sini.
Yang hendak diperkatakan sedikit lagi ialah pendidikan sains yang dulunya ditekankan kepada penerapan nilai dan dengan isyarat positif ke arah pengislaman ilmu kini sudah semakin dilupai. Jika tren ini berterusan, masa depan sains Melayu-Islam dan sains Islam memang malap.
Kita sedang dibelai dan diulit oleh elitisme dan penafsiran kita yang kurang tepat mengenai sejagatisme (globalism), antarabangsa (international), piawai dunia/kelas dunia (world standard/world class”) dan sebagainya sehingga akar dan budaya kita dan hukum sunnatullah pembangunan semakin terpinggir dan dipinggirkan. Pembinaan sains Melayu-Islam memerlukan selekoh daripada haluan ini yang dipandukan oleh para sarjana, cendekiawan dan inteligensia yang bukan komprador.
sumber:www.kestuiri.net

0 comments: